Sunday, March 31, 2019

Damaikan Hati Dengan Berlapang Dada


Berlapang dada merupakan antara sifat terpuji dan mulia yang diperintahkan oleh Allah SWT dan RasulNya buat kita. Berlapang dada merupakan satu bentuk kemaafan yang diberikan pada seseorang yang melakukan sesuatu kesalahan terhadap kita. Kemaafan ini bermaksud kita lebih menumpukan pada kebaikan dan kelebihan yang ada pada seseorang itu berbanding dengan hanya memberi fokus dan tumpuan pada kejahatan dan keaibannya semata-mata.


Hidup ini terlalu singkat yang berlalu begitu pantas tanpa pernah terhenti walau seketika. Dengan itu, amat tidak wajar untuk kita hanya memberi penumpuan terhadap perkara-perkara yang membawa kebencian, kedengkian dan permusuhan. Bahkan sebaliknya kita mengambil ruang untuk menghiasi kehidupan ini dengan kasih sayang, berlapang dada dan memberi harapan yang mampu membawa seseorang itu untuk berasa tenang dan damai dengan kehidupan.

Firman Allah SWT:



 خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ 


Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'ruf,
serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh (al-A'raf, 199).

Dalam sebuah hadith, riwayat daripada Abu Ayub al-Ansari r.a, sabda Nabi SAW:

لا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ : يَلْتَقِيَانِ، فَيُعْرِضُ هَذَا وَيُعْرِضُ هَذَا، وَخَيْرُهُمَا الَّذِي يَبْدَأ ُبِالسَّلَامِ .
“Tidak dihalalkan bagi seorang muslim untuk membiarkan saudaranya lebih dari tiga malam. Jika berjumpa, yang ini memalingkan muka, dan yang itu memalingkan muka, dan sebaik-baik dari keduanya adalah yang memulai mengucapkan salam.” (Hadis sahih, diriwayatkan oleh al-Bukhari, hadis no. 5613; Muslim, hadis no. 4643; Abu Daud, hadis no. 4265; al-Tirmizi, hadis no. 1855; Ahmad, hadis no. 22428, 22473 dan 22481; Malik, hadis no. 1410).
Berlapang dada ialah satu proses yang boleh merawat luka dijiwa. Proses ini menuntut seseorang itu kekuatan dan kesabaran kerana seseorang itu mungkin berdepan kegagalan dan teragak-agak. Kejayaan dalam mendidik hati agar berlapang dada ini akan dapat dirasai dengan seseorang itu merasa seperti bebas dan merdeka dari sebarang tekanan dan bersedia untuk menyerahkan diri dan hatinya untuk menerima segala ketentuan dan takdir Ilahi. Hasilnya, seseorang itu akan dapat menerima kekurangan diri sendiri dan orang lain serta mengakui bahawa setiap manusia biasa itu terdedah untuk melakukan kesilapan dan kesalahan
Moga dengan sentiasa bersifat dengan berlapang dada ini, akan membawa kita ke syurgaNya yang abadi yang dijanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh

.